Paparan terbaik blog ini adalah dengan menggunakan browser Mozilla Firefox. Dapatkan Mozilla Firefox versi 3.5 di sini

Usah tertipu peraduan berunsur judi moden

Monday 23 June 2008

Usah tertipu peraduan berunsur judi moden
Oleh Mohamad Sofee Razak

KETIKA ini ramai di kalangan peminat bola sepak tidak cukup tidur rehat ekoran demam Kejohanan Eropah (Euro 2008) sedang memuncak dan kini sampai ke peringkat separuh akhir.

Namun begitu dalam keghairahan rakyat Malaysia menyaksikan Euro 2008 dengan penuh minat, negara dikejutkan dengan kegiatan licik sindiket 'bookie' bola sepak antarabangsa yang menjadikan Malaysia sebagai markas kegiatan judi sindiket yang beribu pejabat di sebuah negara kepulauan di Eropah. Markas perjudian permainan maya termasuk aktiviti bookie bola sepak Euro 2008 berkenaan dipercayai memperoleh kutipan jutaan ringgit sebulan hasil daripada kegiatan haram mereka.

Modus operandi sindiket itu adalah mengambil taruhan melalui talian internet kepada pelanggan tertentu. Pelanggan akan diberikan alamat laman web berkenaan dan perlu memasukkan wang taruhan masing-masing ke dalam akaun suspek. Nilai taruhan bernilai ratusan ringgit bagi satu perlawanan di mana pertaruhan itu membabitkan perlawanan Liga Perdana Inggeris, Serie A Itali, Liga Sepanyol, Liga Juara-Juara dan juga kejohanan Euro 2008. Jika dulu untuk berjudi, aktiviti ini dilakukan di tempat sembunyi, tertutup, di dalam hutan, di tepi pantai dan sebagainya, namun hari ini orang berjudi secara profesional di kasino, kelab dan sebagainya. Amalan berjudi juga diangkat ke filem dan ditayang secara terbuka kepada masyarakat di TV seperti drama Las Vegas dan lain-lain, yang menunjukkan seolah-olah berjudi tidak salah selagi mematuhi undang-undang, diurus secara sistematik dan menjadi perniagaan yang sangat menguntungkan.

Judi telah melalui proses transformasi yang hebat dan dengan ledakan teknologi ICT hari ini, judi moden telah mengambil tempat judi tradisional. Antara yang paling popular ialah judi dalam rumah, judi tempat bebas, judi ekor haram (loteri haram), judi catataruh haram (illegal bookmaking), judi tikam-tikam, judi mesin slot/jackpot/ turfking/fruit machine dan lain-lain lagi. Hari ini skop dan dimensi judi diluaskan kepada medium yang lebih interaktif, menarik dan bersifat infotainmen melalui saluran SMS, internet dan sebagainya.

Pasaran judi semakin terbuka dan golongan sasarannya terus bertambah meliputi kanak-kanak dan orang dewasa. Dengan umpan hadiah yang lumayan, judi moden ini mudah mendapat perhatian dan minat orang ramai tidak kira lelaki atau wanita dan miskin atau kaya.

Seterusnya, Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2004 memutuskan bahawa peraduan kuiz melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) adalah haram kerana mengandungi unsur perjudian. Keputusan itu berdasarkan beberapa hujah dan latar belakang peraduan tersebut yang bersifat samar-samar, mengandungi unsur eksploitasi dan penipuan. Selain itu, ia bergantung kepada nasib dan wang pertaruhan yang tidak menentu serta mengeksploitasi duit orang ramai sedangkan yang mendapat keuntungan adalah pihak tertentu dalam bilangan yang terhad.

Dalam konteks kuiz melalui SMS umpamanya orang ramai terpaksa mengeluarkan wang untuk menyertai sesuatu kuiz melalui penghantaran SMS dengan harapan akan menang sedangkan yang mendapat keuntungan daripada kemenangan adalah sebilangan kecil peserta saja. Penganjuran kuiz melalui SMS sejak akhir-akhir ini semakin berleluasa termasuk promosi di media massa sehingga ada peserta tidak menyedari mereka kerugian beribu-ribu ringgit. Beberapa stesen televisyen swasta sebelum ini telah menganjurkan pelbagai Kuiz SMS yang menawarkan pelbagai hadiah antaranya Maxmillion, Malaysia Idol SMS Challenge dan SMS Game.

Kementerian Kewangan telah mentakrifkan penganjuran atau penyertaan dalam acara cabutan bertuah atau permainan yang bergantung kepada nasib adalah termasuk di bawah judi atau loteri mengikut Seksyen 2 Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan tidak mengeluarkan permit bagi tujuan penganjurannya. Sesuatu peraduan adalah perjudian atau loteri berdasarkan tiga fakta iaitu pembahagian hadiah; permainan atau perjalanannya secara cabutan atau nasib; dan wujudnya sumbangan secara langsung atau tidak langsung oleh peserta.

Contoh paling terkini ialah peraduan SMS yang didapati mempunyai unsur judi yang dianjurkan oleh sebuah gergasi telekomunikasi negara. Peraduan yang mengumpankan dengan ganjaran '100 hari 100 kereta' kepada pelanggan ini telah berjaya menarik ramai orang untuk bertaruh merebut hadiah mewah berkenaan. Peraduan yang berlangsung sejak 2 Jun lalu itu menawarkan 100 unit Toyota Camry 2.0E 1AZ-FE setiap hari selama 100 hari berturut-turut kepada pelanggan pasca bayar dan pra bayarnya.

Namun begitu, ramai yang menarik nafas lega apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati peraduan 100 hari 100 kereta anjuran syarikat telekomunikasi Celcom (M) Bhd., mempunyai unsur-unsur perjudian dan menggalakkan pembaziran. Panel Kajian Syariah Jakim sebelum ini telah mengarahkan penganjur menghentikan sementara peraduan berkenaan sehingga keputusan muktamad dibuat.

Ini adalah bertepatan dengan keputusan yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dalam muzakarah ke-64 yang memutuskan bahawa peraduan berbayar menerusi SMS adalah haram di sisi Islam kerana mempunyai unsur perjudian. Ini juga selaras dengan fatwa Kesatuan Fiqh Sedunia dalam sidang ke-14 pada 11 hingga 16 Januari 2003 (Fatwa No.127; 14/1) yang telah memutuskan bahawa semua permainan dan pertandingan yang hadiahnya diambil daripada kumpulan wang penyertaan terkumpul adalah haram kerana mempunyai unsur judi dan gharar.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam laporan akhbar sebelum ini telah mengarahkan penganjur menghentikan serta merta Peraduan 100 Hari 100 Kereta dan memulangkan bayaran kepada pelanggannya yang mengambil bahagian sebelum ini. Menurut kenyataan SKMM, arahan dikeluarkan selepas pihaknya menyiasat aduan orang ramai mengenai wujud unsur ketidakpatuhan terhadap Kod Amalan Pelanggan Am yang didaftarkan suruhanjaya itu mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Penganjur tersebut juga diminta menyediakan maklum balas bertulis kepada SKMM dengan menyatakan alasan kegagalan mematuhi kod amalan.

Dalam perkembangan lain, polis baru-baru ini berjaya menumpaskan satu sindiket perjudian haram bola sepak Euro 2008 yang sedang berlangsung di Austria dan Switzerland dan Liga Perdana Inggeris yang berakhir bulan lalu membabitkan pertaruhan sehingga RM18.5 juta.

Ia berikutan penahanan 11 lelaki dan enam wanita serta rampasan 41 komputer dalam serbuan di sebuah premis. Serbuan dibuat hasil maklumat dan risikan sejak beberapa minggu lalu dan polis tidak menolak kemungkinan ia mempunyai rangkaian di luar negara kerana berdasarkan siasatan awal sindiket mampu mengumpulkan pertaruhan hingga RM18.5 juta sebulan.

Penulis, lulusan Sarjana Komunikasi Massa dan Sarjana Muda Undang-undang UiTM kini berkhidmat sebagai peguam bela dan peguam cara.

Read more...

Selamat Datang

Assalamualaikum wbt.. buat sahabat2 & kwn2 semua...
Selamat datang ke blog saya.. Ianya masih dalam percubaan.. harap dapat berikan komen utk penambah baikan.. Terima Kasih..

Read more...

DISCLAIMER

All data and information provided on this blog is for informational purposes only. Blog owner makes no representations as to accuracy, completeness, currentness, suitability, or validity of any information on this blog and will not be liable for any errors, omissions, or delays in this information or any losses, injuries, or damages arising from its display or use. All information is provided on an as-is basis.

Anda Adalah Pelawat Ke

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP