Paparan terbaik blog ini adalah dengan menggunakan browser Mozilla Firefox. Dapatkan Mozilla Firefox versi 3.5 di sini

Seni bunyi Islam

Tuesday, 8 July 2008

SENIMAN Islam sejati menghasilkan karya melalui seni bunyi yang tenang.

TIDAK ramai yang menyedari seni bunyi atau handasah al-Sawt dalam tradisi peradaban Islam mempunyai pengaruh yang besar dalam kehidupan umat Islam.

Seni bunyi seperti mana seni tampak, seni arca dan seni-seni yang lain mempunyai prinsip-prinsip tertentu yang dapat mengawal para pelakunya atau pun para seniman supaya tetap tunduk dan patuh kepada konsep pandangan hidup tauhid.

Menurut Fatimah Ali dalam tulisannya, Seni bunyi menurut perspektif Islam, elemen tauhid bukan saja penting bagi penggunaan genre agama dalam handasah al-sawt tetapi juga ia telah menyemai pemikiran dan penglibatan orang Islam terhadap bentuk-bentuk seni bunyi yang lain.

Seni bunyi Islam yang dihasilkan jelas merealisasikan sifat-sifat keesaan, keagungan, yang tidak ada akhir dan yang tidak ada permulaan.

Dengan kata lain, menerusi konsep tauhid, para seniman bukan disuruh meniru atau menguasai alam ciptaan tuhan, sebaliknya, menerusi ciptaan itu, ia dengan penuh kesedaran dapat merealisasi kedudukan dirinya dalam hubungan dengan penciptanya.

Kepada muslim, menghayati keindahan ciptaan Allah, sama ada menerusi visual mahupun audio, sesungguhnya membawa berzikir kepada Allah dengan segala kesempurnaannya.

Tegasnya seni bunyi Islam harus dapat mencernakan konsep tauhid dan dapat, difahami dalam konteks itu. Ciri-ciri seni bunyi Islam dalam apa bentuk persembahannya jelas membezakannya daripada ciri-ciri muzik sekular yang sudah pasti penghasilan karya seninya tidak jelas daripada segi matlamat, nilai dan etika.

Lebih-lebih lagi ia menjurus kepada budaya hedonis yang mementingkan keseronokan palsu. Ciri-ciri seni bunyi Islam dapat diperincikan seperti berikut, pertamanya ialah abstrak.

Menurut Almarhum Profesor Ismail Al-Faruqi dalam bukunya Atlas budaya Islam (terjemahan bahasa Melayu), salah satu ciri al-Quran yang menentukan pernyataan seni dalam budaya Islam ialah nilai abstrak atau nilai bukan programatik yang ada padanya.

Ini bagi membezakannya daripada isi ciptaan Allah. Jadi, seni bunyi dari tamadun Islam tidak mempunyai kesan dramatik, tidak ada kesan tekanan.

Lantaran itu, seniman Muslim sejati, seperti hasil karyanya sentiasa bersifat tenang. Sifat yang sama juga akan diterapkan kepada para peminatnya. Kualiti abstrak ini begitu dipentingkan untuk menghilangkan hubungan intim antara seni bunyi dan mood atau emosi yang bersifat naturalistik.

Kedua pula ialah penggayaan. Menurut Fatimah Ali, penggayaan atau stylization adalah mekanisme untuk mentrasformasi objek yang natural kepada tidak natural dengan tujuan utamanya adalah untuk mengelakkan daripada timbulnya hasil yang bersifat naturalistik yang amat bercanggah dengan konsep tauhid.

Maka itu, objek-objek yang digunakan sebagai kandungannya itu digaya-gayakan supaya hilang 'kenaturalannya' dan yang timbul ialah sifat kesejagatannya.

Ketiga pula ialah melewati batas masa dan geografi. Mesej seni bunyi Islam bukan mesej yang amat peribadi dan lokal sifatnya, tetapi mesej insan sejagat atau universal, yang tidak mengenal batas ruang dan waktu seperti Islam itu sendiri.

Keempat pula ialah dafqah. Dafkah ialah corak atau bentuk yang intriket sifatnya, yang tidak memerlukan awalan dan akhiran, yang wujud dalam seni bunyi.

Seni bunyi ini tidak bergantung kepada satu puncak atau klimaks, sebaliknya mempunyai banyak mini puncak dan peleraian yang berlanjutan. Dalam sebuah lagu terdapat beberapa jenis modul dan unit yang bebas antara satu dengan lain.

Kelima ialah perulangan. Menurut Ismail Al-Faruqi pula, perulangan atau takarur dan simetri atau tawazun adalah dua wajah yang dapat dilihat dalam seni visual dan dapat dinikmati dalam seni bunyi.

Dua wajah ini begitu ditekankan demi membangkitkan sifat non-developmental atau sifat tidak berkembang daripada bentuk infinit yang nantinya akan membawa kepada realisasi konsep tauhid.

Dengan kata lain, perulangan ini memungkinkan lahirnya banyak mini puncak dan peleraian sepanjang masa. Ini bermakna tidak ada satu sahaja pendakian puncak yang akan membawa kepada satu tension atau antiklimaks atau tragedi sebagai penutupnya. Ini ialah kerana fitrah konsep hidup Islam sendiri tidak mengenal tragedi.

Kesatuan seni Islam pada umumnya dan genre handasah al-sawt khususnya adalah berbeza. Ia tidak boleh diterangkan dengan mengambil contoh satu tema tunggal; dengan menghuraikan ciri-ciri seseorang, sesuatu objek atau suatu suasana; atau dengan menyanyikan satu tema yang terkenal. Sebaliknya, seseorang itu mestilah mengalami karya seni itu sebagai struktur yang terbuka dan dapat dikembangkan.

Kosmo

Read more...

Hanya bersaiz "kebun"

Minyak atau petroleum sering menjadi alasan mereka yang tamak haloba untuk mengaut kekuasaan dan menghalalkan peperangan.

"Dunia dahagakan minyak. Siapa yang menguasai sumber ini, dia yang mencaturkan dunia," Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md. Shukri Shuib berkata kepada Kosmo! ketika dihubungi baru-baru ini.

Lebih buruk lagi, harga minyak mentah di pasaran dunia kini bukan ditentukan oleh pengeluarnya, sebaliknya ia ditentukan di pasaran terbuka seperti pasaran niaga hadapan New York Mercantile Exchange (NYMEX). Persatuan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang dahulunya pernah menunjukkan taringnya kini tidak mampu berbuat apa-apa. Dalam beberapa minggu ini, harga minyak di pasaran dunia naik hampir setiap hari.

"Kalau kita mahu membeli kereta, harga kereta ditentukan oleh pengeluarnya. Tetapi tidak bagi harga minyak. Harganya ditentukan di pasaran terbuka sekali gus membuatkan harganya tidak dikawal. Inilah akibatnya apabila satu pihak mendominasi sumber dengan sistem kapitalis dan liberal bermaharajalela," katanya yang yakin spekulasi di pasaran hadapan adalah faktor utama kenaikan.

Benar, minyak semakin berkurangan tetapi persoalannya, adakah sekarang kita sedang kekurangan bekalan minyak?

Wall Street Journal baru-baru ini memberitahu bahawa pedagang minyak mentah berkata, pasaran sedang 'menderita' bekalan yang terlalu banyak, bukannya terlalu sedikit!

Pengusaha industri, Harry C. Johnson pula menyatakan, beberapa pihak berpendapat harga minyak mentah di pasaran dunia hari ini sebenarnya jika tanpa campur tangan spekulator hanyalah antara AS$50 hingga AS$60 dolar (RM196) setong!

"Ada kemungkinan juga, keadaan ini berlaku sebagai percaturan menggugat kebangkitan negara-negara yang sedang membangun. Saya melihat krisis ini amat besar sehingga akan mempengaruhi trifungsi sejagat iaitu ekonomi, sosial dan politik. Kerana ekonomi yang teruk, masyarakat menjadi susah dan akhirnya iklim politik di banyak negara berantakan," kata Md. Shukri.

Amerika Syarikat (AS) merupakan negara pengeluar minyak ketiga terbesar tetapi ia bukan pengeksport minyak yang besar, sebaliknya pengimport dan pengguna minyak nombor satu dunia. China merupakan negara membangun yang berada di tangga kedua pengguna minyak dunia. Bahkan dijangka, perkembangan keperluan minyak China akan lebih pantas daripada AS.

Harga minyak mentah dunia juga diukur mengikut dolar Amerika. Kerana nilai dolar Amerika yang tidak menentu akhir-akhir ini, kita terpaksa mengikut rentak kenaikan harga.

Justeru, berbalik kepada kenaikan harga minyak di negara ini, kita harus memahami apa yang sebenarnya berlaku.

"Tangan dunia pun terpasung untuk membetulkan keadaan ini, masakan kita mampu mengekangnya?" soalnya.

Benar, negara kita merupakan negara pengeluar petroleum, tetapi adakah ia begitu besar seperti yang 'dimomokkan'? Andai dilihat pada atlas, didapati sebahagian besar negara di dunia merupakan negara pengeluar petroleum. Kita cumalah negara pengeluar yang ke-25. Layakkah untuk kita membandingkan harga petrol di negara kita dengan negara Arab Saudi, Kuwait, Venezuela dan sebagainya?

"Minyak kita cumalah laksana 'kebun', 'ladang-ladangnya' nun jauh di Timur Tengah iaitu di Arab Saudi, Amerika Syarikat, Rusia dan sebagainya. Kenaikan harga minyak mungkin dilihat memberi kelebihan kepada negara pengeluar, tetapi ada timbal baliknya. Segala kos yang lain akan bertambah, kadar tanggungan import produk lain bertambah," katanya.


Mungkin apa yang membuatkan Malaysia menyerlah dengan petroleum ialah negara ini mempunyai sebuah syarikat pengurusan minyak terbaik, Petronas.

Syarikat ini dianggap begitu gah sehingga ada yang menyenaraikannya dalam The Seven Sisters (satu gelaran bagi syarikat-syarikat minyak terulung di dunia) yang baru daripada lebih 100 syarikat minyak di dunia.

"Hakikatnya, itulah kebijaksanaan Malaysia. Bagaimana kita mampu mengurus sumber yang kita miliki walau dalam keadaan yang sedikit. Kita menubuhkan Petronas dengan usaha kita sendiri, tidak seperti Saudi Aramco yang dimiliki Arab Saudi, pengeluar terbesar minyak di dunia, tetapi ditubuhkan oleh AS.

Ekonomi kita bahkan lebih baik daripada beberapa negara OPEC seperti Nigeria. Bahkan, hampir 40 peratus daripada pendapatan negara kita adalah disumbangkan oleh syarikat ini," ujarnya.

Apa pun, sesuatu perlu diakui, minyak adalah sumber yang tidak boleh diperbaharui dan minyak Malaysia dijangka akan habis tidak sampai 20 tahun lagi. Seandainya ini berlaku, dari manakah sumber pendapatan utama kita nanti?

Oleh itu, kita perlu beringat dari sekarang. Kita tidak boleh mementingkan diri sendiri. Keuntungan yang kita miliki hari ini tidak boleh dihabiskan kesemuanya sekarang. Sebahagian wang perlu dilabur demi memastikan keuntungan dan kemakmuran dapat dikecapi berpanjangan. Kesempitan yang kita terpaksa deritai ini adalah demi generasi akan datang. Kita harus berganding bahu dan bertolak ansur dalam mendepani krisis ini.

Setidak-tidaknya, kita perlu menerima hakikat bahawa inilah natijah daripada kehidupan yang harus dilalui pada zaman ini. Manusia telah melalui zaman batu, besi, gangsa, arang batu dan kini giliran minyak. Entah-entah apabila giliran tenaga solar menjadi sumber tenaga utama, matahari pun ingin dikuasai manusia!

Kosmo

Read more...

Ainan pelajar Malayu Politeknik Singapura termuda

Monday, 7 July 2008

SINGAPURA: Seorang kanak-kanak pintar yang mendapat liputan meluas kerana lulus Peperiksaan 'O' Level bagi mata pelajaran kimia pada usia tujuh tahun pada 2007, kini diterima belajar di Politeknik Singapura sekali gus menjadi pelajar termuda di dunia mengikuti pengajian tahun tiga bagi modul institusi menengah tinggi.

Ainan Celeste Cawley, 8, berketurunan Ireland-Melayu, mengikuti pengajian bagi pelbagai modul kimia berasaskan makmal, termasuk pengajian tahun satu, dua dan tiga.

Pada mulanya, Ainan mengambil mata pelajaran Analisis Kimia dan Fizikal sebelum mengikuti modul Kimia Inorganik dan Organik tahun pertama, modul Sureh, Unsur Transisi dan Kompleks tahun dua dan modul Wangi-wangian dan Kimia Haruman tahun tiga.


Kanak-kanak yang neneknya, Sabariah Abdul Wahab, 51, berasal dari Parit Ya'ani, Johor ini, menduduki peperiksaan GCE 'O'Level pada Januari tahun lalu sebagai pelajar persendirian di British Council.

Namanya tercatat dalam The Singapore Book of Records sebagai kanak-kanak paling muda yang lulus peperiksaan kendalian London Edexcel Board itu.

Peperiksaan 'O'Level bertaraf lebih tinggi daripada Lulusan Sekolah Tinggi Amerika Syarikat dan lulusan peperiksaan ini diterima masuk secara terus bagi mengikuti pengajian peringkat ijazah oleh universiti Amerika.

Sebaik lulus peperiksaan berkenaan, Ainan mencari universiti di seluruh dunia yang sedia menerimanya melanjutkan pelajaran, sebelum pencariannya berakhir di politeknik di sini.

Pada sesi pertama pengajian membabitkan ujian makmal, kanak-kanak ini berjaya memenuhi semua syarat yang ditetapkan dan ini menyangkal andaian sesetengah pihak bahawa kanak-kanak seusianya tidak mampu melakukan uji kaji makmal dengan berkesan.

Antara uji kaji yang dilakukan oleh Ainan ialah penyediaan isoamyl acetate (minyak pisang) dan pengasingan limonene daripada buah-buahan sitrus (uji kaji bagi tahun pertama) dan penghabluran semula asid benzoik dan penyediaan serta penghabluran aspirin (uji kaji tahun pertama).

Malah, Ainan bersama dua adiknya - Fintan, 4, dan Tiarnan, 2, berjaya menghasilkan minyak wangi dengan menggunakan bahan kimia sebagai hadiah untuk ibu mereka sempena sambutan Hari Ibu

Read more...

Penduduk dibayar 70 sen untuk kencing


CHENNAI – Para penduduk di selatan India dibayar 10 paise (RM0.77) untuk menggalakkan orang ramai supaya membuang air di tandas.

Akhbar Times of India melaporkan bahawa projek yang dilaksanakan oleh Persatuan Komuniti Penduduk dan Pelajaran (SCOPE) itu adalah untuk menggalakkan orang ramai menggunakan tandas.

Air kencing yang dikumpul digunakan untuk tujuan penyelidikan bagi menghasilkan baja cecair. – Bernama

Read more...

DISCLAIMER

All data and information provided on this blog is for informational purposes only. Blog owner makes no representations as to accuracy, completeness, currentness, suitability, or validity of any information on this blog and will not be liable for any errors, omissions, or delays in this information or any losses, injuries, or damages arising from its display or use. All information is provided on an as-is basis.

Anda Adalah Pelawat Ke

  © Free Blogger Templates Columnus by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP